PEMBANGUNAN PENDIDIKAN : PEMBINAAN NEGARA BANGSA

Oleh : Rahmat Hidayat Sabari (Ansos UKMalaysia)

cikgurahmat@live.com

Setelah 50 tahun negara kita mencapai kemerdekaan, kini kita sedang bergerak melaksanakan strategi perindustrian dan pemodenan yang pesat dalam usaha menjadi sebuah negara yang maju menjelang tahun 2020.  Seiring dengan ekonomi Malaysia untuk menjadi lebih berintegrasi dalam sistem ekonomi dunia yang global sifatnya, masyarakat Malaysia juga tidak terkecuali mengalami perubahan pemodenan yang pesat. Justeru, pembangunan pendidikan telah dikenalpasti sebagai wahana utama untuk membolehkan perubahan pemodenan berlaku dengan berkesan, di samping mencorak bersama pembinaan negara bangsa. Sungguhpun demikian, satu ciri penting yang muncul dalam proses perubahan ini ialah pertarungan yang tajam antara hubungan komuniti bersama budaya dan nilai lama yang sudah mantap pada satu pihak, dengan hubungan sosial bersama budaya dan nilai baru yang bersifat kontraktual dan ditentukan oleh kuasa pasaran yang begitu berpengaruh di pihak lain. Pertarungan nilai ini juga tercermin dalam pelbagai bentuk dalam semua bidang, termasuklah bidang pendidikan. Dalam hal ini, suatu wacana yang serius tentang persoalan pertarungan nilai ini sama ada nilai universal, nasional mahupun setempat dalam pembinaan negara bangsa, khususnya yang membabitkan pembangunan pendidikan di Malaysia adalah sangat relevan dan perlu diberikan perhatian mendalam.

 

            Para pakar dan pendidik telah banyak melakukan perdebatan tentang corak dan pengisian pendidikan bagi generasi muda dalam masyarakat yang pesat berubah, termasuklah Malaysia dan peranannya dalam pembinaan negara bangsa. Perdebatan ini meletus berkisar tentang persoalan kunci iaitu bagaimanakah harus kita wujudkan keseimbangan antara matlamat jangka masa pendek dan praktikal untuk melahirkan individu dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran tertentu bagi membolehkan mereka memasuki pasaran pekerjaan. Di samping itu, kita juga harus memikirkan matlamat jangka masa panjang yang lebih besar dan luas dalam pengisian negara bangsa, iaitu melahirkan warganegara yang seimbang dan menyeluruh perkembangannya, yang bukan sahaja memiliki ilmu pengetahuan dan kemahiran, tetapi juga memiliki sistem nilai yang unggul dan akhlak yang mulia. Individu yang cuba kita lahirkan dalam matlamat jangka masa panjang seharusnya mendapat pendidikan yang sempurna, mempunyai misi dan visi dalam hidup, memiliki ilmu pengetahuan yang tidak sempit atau sehala; tetapi masih tetap memelihara jati diri bangsa.

 

            Matlamat segera jangka masa pendek untuk melahirkan individu dengan pengetahuan dan kemahiran nyata sekali adalah bagi memenuhi keperluan pasaran pekerjaan. Maka itu, sistem pengajian di peringkat sarjana muda di universiti dipendekkan daripada empat tahun kepada tiga tahun; dengan hasrat melahirkan lebih ramai graduan yang dapat terjun segera dalam pasaran pekerjaan. Namun, apabila kita meneliti senario masa kini yang memperlihatkan lambakan graduan menganggur atau tanpa peluang pekerjaan yang setaraf dengan kelayakan; juga isu graduan yang kurang berkualiti, adakah kita akan kembali kepada sistem pengajian empat tahun di universiti?

            Jawapan kepada persoalan di atas pastinya bertepatan dengan matlamat jangka masa panjang yang lebih luas menyentuh bukan sahaja isu melahirkan tenaga kerja terdidik, mahir dan berdisiplin, tetapi yang lebih penting ialah melahirkan individu yang selaras dengan tujuan pembinaan insan, pembinaan kewarganegaraan dan negara bangsa, serta pembangunan sebuah tamadun yang moden dan penuh insani. Bagi membina sebuah masyarakat dan negara bangsa Malaysia dengan tamadun yang moden, kita perlu menangani kedua-dua matlamat ini secara serentak tanpa membenarkan matlamat jangka masa pendek mengorbankan matlamat jangka masa panjang yang lebih unggul. Justeru, tidak perlu timbul persoalan adakah perlu kita kembali kepada sistem pengajian empat tahun di universiti kerana isunya di sini ialah semampu mana kita menerapkan matlamat pendidikan dalam jangka masa panjang bagi pelajar-pelajar kita sepanjang tempoh tiga tahun mereka menuntut di universiti.

 

            Kita seharusnya menyedari bahawa pendidikan individu merupakan sebahagian daripada proses sosialisasi sepanjang hayat yang melibatkan bukan semata-mata persoalan menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran, tetapi juga melibatkan penerapan nilai. Nilai-nilai sejagat tentang kemanusiaan atau keinsanan, iltizam terhadap kepentingan bersama dan keprihatinan terhadap orang lain khususnya mereka yang terpinggir dan kurang bernasib baik, akhlak yang murni, kecintaan terhadap ilmu dan kemajuan, kecintaan terhadap sesama manusia dan sesama warganegara, keadilan sosial, serta kebebasan daripada kekejaman, penindasan dan kelaparan, dan lain-lain merupakan sebahagian daripada prinsip khazanah yang tidak ternilai yang terdapat dalam tahap atau peringkat yang berbeza-beza dalam semua tamadun di dunia. Khazanah ini perlu dipelihara dan dikembangkan melalui pembangunan sistem pendidikan negara.

 

            Dalam hal ini, universiti yang bertanggungjawab menghasilkan dan menyebarkan ilmu pengetahuan dan penjaga nilai-nilai peradaban negara bangsa; mestilah menjadi sebuah gedung bagi percambahan minda yang tegas menjunjung tinggi nilai-nilai luhur di atas. Justeru, dalam usaha universiti tempatan mencapai kecemerlangan akademik, sesebuah universiti seharusnya menggalakkan dan memelihara tradisi yang mendorong pembentukan golongan ilmuan yang menerajui bidang pemikiran serta mampu menjadi pemikir masa hadapan. Dengan demikian, universiti berkenaan akan sentiasa dikenang sebagai pencetus peradaban negara bangsa oleh mereka yang telah melalui sistem pendidikannya; manakala universiti pula dapat memandang dengan penuh rasa bangga para graduannya yang menempa nama dan mencapai kejayaan serta menjadi warganegara dan warga dunia yang mulia dan berjasa.

 

            Nilai-nilai dan cita-cita tersebut memang universal sifatnya dalam erti kata semua masyarakat dan tamadun pada zaman moden ini. Namun set nilai dan cita-cita ini juga mempunyai sifat nasional dan setempat yang dipegang dan diperjuangkan oleh kebanyakan orang, sunguhpun artikulasi mereka mungkin tidak sehalus berbanding dengan artikulasi golongan pakar pendidik. Setiap individu tidak kira apa juga kedudukan sosial mereka, sama ada seorang bapa yang menjadi nelayan, seorang ibu yang menjadi penjaja, seorang abang yang menjadi pekerja kilang atau mana-mana ibu bapa dalam sesebuah keluarga; sentiasa mengimpikan anak-anak atau adik-adik mereka terbentuk dengan akhlak yang baik dan mendapat pendidikan tinggi; yang kelak akan berusaha menjaga nama baik keluarga, masyarakat dan negara. Pendek kata, kita perlu meletakkan set nilai yang tinggi ke atas sistem pendidikan negara supaya sistem ini dapat mengubah anak-anak atau saudara mara kita menjadi manusia yang berguna; yang memiliki kemahiran d isamping memiliki nilai-nilai mulia dan menjadi insan yang setia kepada keluarga, masyarakat dan bangsa. Kejayaan kita melahirkan individu berpendidikan sempurna ini bolehlah dianggap sebagai memenuhi sebahagian daripada cita-cita pembinaan sebuah negara bangsa.

 

            Set nilai sebenarnya amat penting bagi pembinaan negara bangsa, khususnya set nilai nasionalisme dan patriotisme, keprihatinan bagi pembangunan kebudayaan dan tamadun bangsa serta pemeliharaan alam sekitar, di samping rasa bangga untuk menggunakan bahasa kebangsaan dalam setiap bidang ilmu (termasuklah bidang sains, teknologi dan matematik). Harus diingat bahawa bahasa kebangsaan merupakan salah satu alat pembinaan negara bangsa dan identiti nasional. Namun, perlu ditegaskan bahawa berbangga dengan bahasa kebangsaan sendiri tidak bererti kita tidak mementingkan penguasaan bahasa-bahasa asing, khususnya bahasa Inggeris sebagai alat untuk menguasai pelbagai ilmu dan teknologi baru serta memperluas dan mengayakan ilmu pengetahuan umum demi kepentingan bangsa.

            Memasuki tahun 2000, kita mulai melihat tanda-tanda yang membimbangkan bagi masa depan bahasa kebangsaan. Bayangan pemikiran untuk mengurangi fungsi bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan negara ini sudah memperlihatkan alamatnya. Keputusan negatif yang memalukan dan menjatuhkan maruah bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama di sekolah-sekolah akhirnya menjadi realiti apabila pengumuman telah dibuat oleh kerajaan untuk menggantikan bahasa pengantar matematik dan sains kepada bahasa Inggeris mulai sesi persekolahan 2003.           Maka berlakulah apa yang dianggap oleh beberapa cendiakawan bahasa sebagai sejarah malang bagi bahasa kebangsaan. Kesan negatif dan implikasi pelaksanaan bahasa Inggeris ini sangatlah besar, bukan sahaja terhadap pengajaran dan pembelajaran pelbagai mata pelajaran yang berteraskan sains dan matematik seperti biologi, kimia, fizik, teknologi dan lain-lainnya dalam kalangan murid dan guru terutama di desa, tetapi juga sedikit sebanyak telah mengikis tahap kepercayaan rakyat terhadap fungsi, nilai dan masa depan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu yang menjadi teras kepada pembinaan negara bangsa.

 

Langkah menguasai ilmu sains dan teknologi tidak seharusnya dijadikan sebagai 'kambing hitam' untuk mewajarkan penggunaan bahasa Inggeris secara berleluasa tanpa kawalan dan tidak kena pada tempatnya sekaligus mengetepikan kepentingan penggunaan bahasa kebangsaan secara meluas. Langkah sedemikian juga tidak seharusnya menjadi 'tabir debu' yang berfungsi menyerap dan menyebar luas cara hidup barat, bersama ciri-ciri konsumeris dengan alasan kononnya semua ini perlu supaya kita dianggap moden dan maju sehingga kita sanggup mengorbankan set nilai bahasa, kebudayaan dan identiti nasional yang penting dalam pembinaan negara bangsa. Sikap meniru-niru menunjukkan ketiadaan keyakinan diri sebagai satu bangsa yang boleh menjadi moden dan maju dengan menjadi diri sendiri; mempertahan dan mereformasi sistem budaya serta mengayakan bahasa, kebudayaan dan cara hidup. Malah, pembangunan sistem pendidikan ke arah pembinaan negara bangsa akan memperoleh lebih banyak manfaat daripada pertembungan kita dengan dunia luar sekiranya kita terus-menerus mengukuhkan asas bangsa kita yang telah terbentuk dalam sejarah dan mengembangkannya selaras dengan situasi baru. Di samping itu, kita perlu menanam semangat yakin diri serta semangat belajar secara kreatif daripada masyarakat dan peradaban lain; dan menyesuaikan atau mengubah apa yang dipelajari itu selaras dengan keperluan nasional dan setempat.

 

            Satu lagi mangsa daripada kecenderungan penggunaan bahasa Inggeris secara berleluasa tanpa kawalan ialah merosotnya maruah dan penggunaan bahasa kebangsaan dalam usaha melahirkan individu berminda kreatif dan bersemangat kritis, bersemangat ingin tahu serta bersemangat reka cipta dan inovasi. Kita sedar bahawa jika kita ingin menjadi bangsa yang maju, usaha mengembangkan reka cipta dan inovasi perlu sentiasa seiring bergerak maju. Namun, dalam kebanyakan persembahan reka cipta dan inovasi  yang kita hasilkan (sama ada dipamerkan di dalam negara atau di luar negara), bahasa kebangsaan kita jauh ditinggalkan; malah tidak diletakkan seiring bersama penggunaan bahasa Inggeris. Seharusnya kita sedar bahawa kita perlu mengatasi ciri watak tertawan serta sikap suka meniru-niru yang berpunca daripada rendahnya keyakinan dan keupayaan kita terhadap identiti bangsa sendiri. Dalam hal ini, pembangunan pendidikan berteraskan pembinaan negara bangsa adalah penawar yang terbaik.

 

            Pembangunan pendidikan berteraskan pembinaan negara bangsa sentiasa menjadi isu hangat di Malaysia dalam kerangka mereformasikan kandungan pendidikan. Dalam hal ini, apa yang perlu ditegaskan ialah konteks zaman dan transformasi masyarakat serta pertarungan set nilai yang berlawanan seperti yang dibicarakan di atas perlu kita fahami dan ambil kira apabila kita membicarakan dan merumuskan kandungan pendidikan berteraskan pembinaan negara bangsa. Bidang pendidikan di Malaysia merupakan satu medan yang subur yang mana isu-su di atas boleh ditangani secara tuntas. Pendidikan umum dan pendidikan pengkhususan yang berasaskan disiplin fakulti) harus saling melengkapi dan saling mengisi; kedua-duanya tidak boleh bersaing atau berkontradiksi. Penguasaan pengetahuan dan kemahiran khusus ialah tanggungjawab fakulti yang menjadi tempat pendidikan pengkhususan diberikan; manakala pendidikan umum harus mencakupi persoalan ilmu pengetahuan yang penting dan meliputi semua bidang keilmuan yang tidak disajikan melalui disiplin pengkhususan. Dalam usaha membina sebuah negara bangsa di Malaysia, pembangunan pendidikan di Malaysia seharusnya mengandungi komponen-komponen seperti berikut:

 

            Pertama; komponen mengenai falsafah ilmu pengetahuan dan sejarah pemikiran. Sejak berlakunya Revolusi Industri, jurang antara ilmu sains natural dengan ilmu sains sosial dan kemanusiaan telah berkembang menjadi semakin lebar. Dalam sistem pendidikan di negara kita, jurang ini bermula dengan sistem penjurusan bermula dari Tingkatan Empat ke atas. Fenomena semakin melebarnya jurang antara kedua-dua bidang ilmu ini jika tidak dihentikan pasti akan melebarkan jurang antara ilmu yang berterusan pada masa hadapan, dan kini telah pun semakin tenat dengan pelaksanaan dasar berat sebelah 40 : 60 yang memberi penekanan tinggi terhadap sains natural berbanding peminggiran sains sosial dan kemanusiaan (perhatikan ketetapan nisbah kemasukan sebanyak 60 peratus bagi pelajar sains berbanding 40 peratus bagi pelajar bukan sains di universiti). Komponen pengajian yang diwajibkan tentang falsafah ilmu pengetahuan dan sejarah pemikiran yang dicadangkan ini akan dapat menyumbang ke arah pengecilan dikotomi dan pengkotakan ilmu pengetahuan ini.

 

            Kedua, komponen pengajian tamadun. Sejarah umat manusia telah menunjukkan jatuh bangun pelbagai peradaban, tentang pentingnya agama besar dunia serta tentang kebangkitan intelektual dan renaissance dalam pelbagai zaman dan tamadun. Hari ini kita berada dalam dunia yang penuh dengan kepelbagaian sehingga menyebabkan pemahaman dan penghayatan agama agung dunia khususnya Islam dan tamadun besar lainnya menjadi lebih penting untuk mendorong semangat humanisme, perpaduan dan saling pengayaan dalam kalangan umat pelbagai kepercayaan agama.

 

            Ketiga, komponen tentang kursus globalisasi, negara bangsa dan pembinaan bangsa. Kepentingan kursus-kursus ini sememangnya sudah nyata memandangkan hubungan simbiotik yang tidak mampu dielak antara globalisasi yang menjejaskan negara bangsa, serta tugas mendesak pembinaan bangsa di pihak lain. Kursus ini harus mengunakan pendekatan perbandingan dan sejarah iaitu di samping meneliti pengalaman Malaysia, kita juga perlu mempelajari pengalaman negara-negara lain dan meneliti perbandingannya dengan negara kita.

 

            Keempat, komponen tentang budaya, nilai, identiti dan gender. Komponen ini dapat membantu pelajar memahami dan menghayati kepelbagaian budaya dan isu gender, serta tentang persoalan identiti, nilai dan etika. Kursus sedemikian menjadi lebih penting memandangkan masyarakat Malaysia yang pelbagai etnik dan budaya perlu memahami pentingnya peranan lelaki dan wanita serta peranan nilai dan etika dalam kehidupan manusia.

 

            Kelima, komponen tentang teknologi dan masyarakat. Tujuannya ialah untuk menunjukkan saling hubungan di antara teknologi dengan masyarakat; bagaimana teknologi boleh menjadi pemangkin perubahan sosial dan bagaimana perubahan sosial pula boleh mendorong inovasi dan reka cipta teknologi. Akhir sekali komponen keenam yang perlu memberi penekanan terhadap pemikiran kritis dan kreatif. Tujuannya adalah untuk menggalakkan pemikiran yang kritis dan kreatif, semangat ingin tahu dan pemecahan masalah, semangat reka cipta dan inovasi, serta semangat yang dapat mengatasi watak atau minda tertawan. Bagi mencapai hasrat dalam komponen keenam ini, usaha menterjemahkan seberapa banyak bahan-bahan ilmu dalam bahasa asing perlu dilakukan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh oleh para ilmuan tempatan agar pelajar kita tidak ketandusan bahan rujukan dalam bahasa kebangsaan di samping dapat membantu para pelajar memahami sesuatu bidang ilmu dengan lebih mendalam dalam bahasa kebangsaan sendiri dan tidak selama-lamanya bergantung kepada bahasa bangsa lain khususnya bahasa Inggeris. Sejarah telah membuktikan bahawa kewujudan negara bangsa yang terulung seperti Inggeris dan Jepun bermula dengan merebaknya usaha menterjemah karya-karya ilmu daripada bahasa asing lain ke dalam bahasa ibunda mereka. Justeru, setelah 50 tahun kita mencapai kemerdekaan, cubalah hitungkan berapa banyak karya-karya ilmu dalam bahasa asing yang berjaya kita terjemahkan dalam bahasa kita. Dalam hal ini, kerajaan harus memberikan galakan ikhlas, peruntukan kewangan dan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap usaha penterjemahan bahan-bahan ilmu agar satu perancangan jangka masa panjang bagi mengurangkan pergantungan terhadap bahasa asing dapat dilakukan. Usaha ini diharapkan dapat mengembalikan ‘taring' dan maruah bahasa kebangsaan yang semakin pudar. Jika ini dapat dilakukan, pastinya slogan ‘Melayu Glokal' dan ‘Mengangkasakan Bangsa' akan menjadi lebih manis maknanya kerana disertai bersama tingginya semangat jati diri negara bangsa dalam kalangan pelbagai lapisan rakyat.

 

            Seperkara yang perlu ditegaskan ialah para perancang program pembangunan pendidikan tidak seharusnya ghairah untuk memperbanyakkan bilangan kursus yang mahu ditawarkan kepada para pelajar. Dalam hal ini, pendidikan umum harus dibezakan daripada pendidikan liberal yang menawarkan pilihan bebas kepada pelajar untuk mengambil mata pelajaran di luar disiplin pengkhususan mereka tanpa mengambil kira matlamat asal pendidikan umum itu sendiri. Pendidikan umum seharusnya dikonsolidasi dan menyeluruh sifatnya untuk menyediakan pendidikan yang luas asasnya kepada pelajar sebagai pelengkap kepada disiplin pengkhususan mereka. Justeru, pendidikan umum harus distrategi secara holistik dan kreatif, serta dibimbing oleh pandangan jangka panjang yang bukan semata-mata mengambil kira senario teknologi yang terus-menerus berubah dan bercorak terikat kepada suatu tempoh masa, tetapi lebih penting lagi mengambil kira isu peradaban, konsep sejarah, globalisasi, budaya serta pembinaan insan yang terdidik dan seimbang.

 

            Sungguhpun pendidikan di Malaysia tidak berupaya mengatasi arus pasang set nilai ‘mengejar sijil' yang melemaskan intitusi pendidikan hari ini, namun dengan adanya pelaksanaan komponen-komponen pembangunan pendidikan seperti yang disarankan di atas mungkin dapat menjadi kawalan ke atas senario yang begitu terpacu oleh merebaknya set nilai kuasa pasaran. Diharapkan dengan langkah ini, pendidikan di Malaysia khususnya sejak dari peringkat sekolah lagi, mampu menyumbang secara positif untuk memastikan universiti tempatan dapat terus-menerus memainkan peranan sejarahnya yang tidak lekang dek masa, iaitu menjadi pemelihara dan penjana kemajuan ilmu dan peradaban serta nilai-nilai murni yang berkaitan dengannya bagi memenuhi pembinaan negara bangsa.